Ahad, 3 Julai 2011

Assalammualaikum...

Syabas ! Syabas ! Hebatlah ustaz punya ceramah malam ni. Semua orang tercengang mendengarnya ustaz
Wah ! Status facebook you canggihlah ! Menusuk kalbu. Haah tengok berapa ramai orang yang 'like' tu !


Canggihlah tuan ! Pembentangan yang paling hebat yang kami pernah dengar setakat ni.....Macam mana nak jadi hebat macam tuan ni ye ?


Mantop ! Persembahan kau tadi memang mantoplah !



Subhanallah....



Segala puji bagi Allah Yang telah menciptakan langit dan bumi, dan mengadakan gelap dan terang. Namun orang-orang yang kafir mempersekutukan (sesuatu) dengan Tuhan mereka. (Surah al An'am ayat 1)



Puji memuji adalah suatu lumrah harian di dalam hidup kita sebagai manusia. Ianya boleh menyebabkan sesuatu yang sihat dan juga boleh menjadi mudarat bergantung kepada keadaan dan suasana.



Mengapa manusia puji memuji ? Mungkin ini adalah tanda untuk seseorang menghargai sesuatu perkara kepada seseorang yang lain. Namun kebanyakan mereka tidak mengetahui siapa sebenarnya diri kita. Kalau mereka mengenali diri kita yang sebenarnya, pasti mereka tidak akan mahu memuji berlebih-lebihan. Apabila kita dipuji dan menikmatinya atas sesuatu yang tidak ada pada diri kita, maka pujian ini akan menimbulkan mudarat sehinnga menjadikan kita yakin di atas apa yang dikatakan oleh orang tersebut.



Kerap kali dengan satu pujian sahaja boleh mengakibatkan kita boleh bersikap tidak jujur kepada diri kita sendiri. Sedangkan orang-orang memuji hanyalah membuat sangkaan kepada kita terhadap apa yang mereka lihat dari luaran kita sahaja. Sebab utama kita masih dipuji dan dihargai orang lain hanyalah kerana Allah masih menutup 'aib, maksiat dan dosa-dosa kita.



Pujian yang tidak sepatutnya itu seharusnya menjadikan diri kita malu kerana kita tertipu dengan sesuatu yang tidak ada pada diri kita. Kesan yang lebih parah daripada pujian ini adalah kita 'terbang' di awang-awangan akibat kipasan yang berlebih-lebihan tersebut.



Ibnu 'Ajibah pernah berkata :



"Janganlah engkau tertipu dengan pujian orang lain yang menghampirimu. Sesungguhnya mereka yang memuji tidaklah mengetahui dirimu sendiri kecuali yang nampak saja bagi mereka. Sedangkan engkau sendiri yang mengetahui isi hatimu."



Rasulullah saw juga pernah bersabda yang bermaksud,:



"Menyukai sanjungan dan pujian membuat orang buta dan tuli." (HR. Ad-Dailami).



Jadi marilah kita lihat bersama dan mencontohi apa yang dilakukan oleh Abu Bakar As Siddiq ketika beliau dipuji oleh orang lain.



Apabila dipuji, maka Abu Bakar r.a pun akan berdoa :



اللَّهُمَّ أَنْتَ أَعْلَمُ مِنِّى بِنَفْسِى وَأَنَا أَعْلَمُ بِنَفْسِى مِنْهُمْ اللَّهُمَّ اجْعَلْنِى خَيْرًا مِمَّا يَظُنُّوْنَ وَاغْفِرْ لِى مَا لاَ يَعْلَمُوْنَ وَلاَ تُؤَاخِذْنِى بِمَا يَقُوْلُوْنَ

Ya Allah. Engkau lebih mengetahui keadaan diriku daripada diriku sendiri dan aku lebih mengetahui keadaan diriku daripada mereka yang memujiku. Ya Allah. Jadikanlah diriku lebih baik dari yang mereka sangkakan, ampunilah aku terhadap apa yang mereka tidak ketahui dariku, dan janganlah menyiksaku dengan perkataan mereka





Semoga Allah memampukan kita di dalam menjalani ujian ini



- Artikel iluvislam.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan