Ahad, 6 Mei 2012

Ahli kitab


AHLI-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang pada agama Allah yang benar); mereka membaca ayat-ayat Allah (al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang). Mereka beriman kepada Allah s.w.t. dan hari akhirat dan menyuruh berbuat segala yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian ) adalah daripada orang-orang yang soleh. (Ali-Imran: 113 dan 114)
Huraian
Allah s.w.t. menjelaskan bahawa golongan ahli Kitab tidak sama dalam keimanan dan kekufuran. Ada di antara mereka yang beriman dan ada yang ingkar dan kufur. Di kalangan mereka ada yang telah memeluk Islam patuh terhadap suruhan Allah s.w.t. dan istiqamah dalam agama, taat kepada syariah mengikut ajaran nabi Muhammad s.a.w..
Mereka ini beriman kepada Allah s.w.t. dan hari akhirat dengan sebenar-benarnya tanpa sebarang syubhah (keraguan), menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada kejahatan. Di samping itu mereka berlumba-lumba dalam melakukan perkara kebajikan dan amal soleh tanpa melengah-lengah.
Di antara golongan ahli kitab tersebut ialah Abdullah bin Salam, Asad bin Abid, Tha’labah bin Sa'naah. Apa sahaja ketaatan yang dilakukan oleh mereka mereka akan dibalas dengan ganjaran pahala yang tidak akan sia-sia di sisi Allah s.w.t. kerana Allah Maha mengetahui amalan hamba-hambanya yang bertakwa dan sebaik-baik pemberi balasan.
Kesimpulan
Setiap orang yang beriktikad betul dan beriman berpegang teguh dengan agamanya, taat dan patuh kepada syariah merupakan orang yang soleh. Mereka akan diberi ganjaran pahala dan nikmat kebaikan di atas segala ketaatan dan amalan soleh yang dilakukan kerana kehidupan tanpa akidah yang betul dan segala amalan kebaikan yang dilakukan menjadi sia-sia sahaja.
- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

from email saya dapat pada 23 April 2006 Isnin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan